Sebenarnya lama jugak dah Mama rasa nak join contest ni.
Sebab Mama rasa pengalaman berpantang Mama agak menarik untuk dikongsikan bersama.
Namun memandangkan inya memerlukan Mama mencurahkan seluruh tumpuan dan perhatian,
maka Mama tangguhkan dulu sehingga hari ini.
Kalau tak menang pun takpe.
Mama sekadar ingin berkongsi pengalaman Mama bersama teman-teman sahaja.
Jika anda berminat nak join
boleh dapatkan maklumat di sini.
Mama nak join kedua-dua kategori.
Buku2
Nama : Nurul Husna binti Abdul Manaf
Email : nurz.na@gmail.com
Blog : http://www.mamasayangiman.blogspot.com
Kategori : A & B
Buku pilihan : Buku 2
****************************************************************
Aku bukanlah ingin menumpukan kisahku ini kepada cara penjagaan dalam pantang dari segi pemakanan, rutin ketika berpantang mahupun pantang larang yang telah aku lalui. Aku ingin berkongsi pengalamanku yang sangat beremosi pada hari-hari awal kelahiran permata hatiku, Ahmad Iman Bukhari bin Mohd Khairul Amin.
Biarlah kuceritakan daripada awal untuk lebih jelas jalan ceritaku ini. Aku dijangka bersalin pada 19 Mei 2009. Kebetulan tarikh jangkaan bersalinku jatuh pada hari persekolahan di mana tiada sesiapa di rumah ibuku yang dapat menjagaku memandangkan ibuku seorang guru. Oleh yang demikian, aku bersetuju untuk berpantang di rumah ibu mertuaku sementara menanti cuti persekolahan tiba 2 minggu selepas tarikh aku dijangkakan bersalin.
Tiba hari yang dinanti, aku masih tiada tanda-tanda untuk melahirkan. 10 hari kemudian aku dimasukkan ke wad walaupun tiada tanda bersalin untuk pemeriksaan lebih terperinci. 4 hari di wad, aku dibenarkan pulang kerana jalan masih belum terbuka.
Aku masih ingat pada hari aku discaj wad, aku masih sempat singgah makan kenduri kahwin sahabatku. Tika itu, cuti persekolahan telah bermula. Pagi 3 Jun 2009, aku dapati ada darah meluncur keluar dengan laju. Kutahu masanya telah tiba. Pagi itu juga aku dimasukkan ke wad. Keesokan harinya, tepat jam 12.40 tengahari, 4 Jun 2009, hari Khamis, aku selamat melahirkan puteraku yang sangat comel. Seluruh ahli keluarga berkampung di hospital meraikan kelahiran puteraku.
Walaupun cuti persekolahan telah bermula, namun aku tak sampai hati menghampakan ibu mertuaku yang telah menyiapkan tempat khas untuk aku berpantang di rumahnya. Dengan hati yang berbelah bagi, aku lapangkan dada melangkah ke rumah ibu mertuaku. Pada ibuku, kukhabarkan bahawa aku mesti menunaikan janji. Lagipun tak lama, dalam 2 minggu aku berjanji akan pulang berpantang di rumah ibuku pula. Untuk pengetahuan semua, rumah ibu dan ibu mertuaku adalah dalam qariah yang sama.
Petang Jumaat aku dan bayiku dibenarkan pulang. Pada masa itu, aku sudah merasakan sakit di ari-ariku. Orang kata ianya rengat. Jenuh jugak aku sms kawan-kawanku yang pernah melahirkan anak bertanyakan inikah sakit selepas bersalin. Mereka menyatakan memang akan sakit juga sikit-sikit.
Malam itu, tinggal aku, suami dan bayiku sahaja di rumah ibu mertuaku kerana ibu dan bapa mertuaku menghadiri kenduri tahlil. Sakitku makin menjadi-jadi hingga aku tidak boleh langsung berbaring. Terasa rahimku bagai hendak pecah. Aku menangis dan terus menangis. Teringat ibuku. Walaupun begitu aku tetap berusaha menyusukan bayiku dalam keadaanku yang sangat sakit. Kesian anakku, aku tidak dapat meletakkannya di atas ribaku. Aku terpaksa menjauhkan badannya daripadaku kerana rahimku tidak boleh langsung terkena apa-apa.
Aku masih ingat lagi, rahimku sangat sakit hinggakan aku hendak melangkah setapak pun sangatlah seksa. Belakang tapak tanganku merah akibat menahan badan apabila hendak melangkah. Sangatlah seksa.
Yang aku sedihkan, aku bersendirian. Aku ajak suami temankan aku mandi kerana aku sakit, suami minta aku mandi sendiri, apa-apa hal dia ada di luar bilik mandi. Sedih sungguh hatiku kala itu. Malam itu hanya aku sahaja yang menjaga bayiku sendirian. Bayiku tiba-tiba meragam. Aku yang baru 2 hari menjadi ibu kelam kabut juga. Kupanggil suami tetap tidak didengari. Ibu mertuaku yang tidur bersama juga tidak terjaga. Mungkin terlalu letih dan mengantuk kerana telah beberapa hari berjaga kerana menungguku bersalin. Lebih kurang jam 5.30 pagi, barulah suami dan ibu mertuaku terjaga. Rupanya anakku buang air besar.
Hari Sabtu, sekali lagi aku, suami dan bayiku ditinggalkan ibu dan bapa mertuaku. Sedih sungguh hatiku. Kalaulah ibuku sendiri, takkan tergamak meninggalkan aku sendirian terutama dalam keadaan aku pantang anak sulung. Mungkin kerana tekanan emosi, aku tidak dapat membuang air kecil. Susuku juga tiba-tiba kering walhal sejak hari pertama lagi susuku memang ada.
Kerana tak tahan lagi, petang itu aku minta suami membelikan ubat lawas kencing, namun suami hanya berpesan kepada bapanya yang kebetulan ingin keluar. Bapa mertuaku tersilap, dibelinya ubat lawas air besar. Untuk menjaga hati, kutelan jualah ubat tersebut. Namun aku masih belum dapat membuang air kecil. Sakitnya memang macam nak pecah pundi kencing dan rahimku.
Maghrib hari yang sama, aku memang sudah tak dapat mengawal emosiku. Aku menangis semahu-mahunya hingga semua orang panik. Aku sedih kerana diperlakukan begini dalam keadaan aku baru beberapa hari melahirkan. Aku juga sedih kerana anakku lapar akibat aku kekeringan susu walaupun aku tak henti-henti menyuakan susuku.
Atas nasihat jiran yang juga merupakan staff nurse, aku dibawa ke hospital. Tika itu aku sudah tidak dapat mengangkat kakiku lagi. Suami dan adik iparkulah yang terpaksa mengangkatku dari dalam rumah ke kereta. Aku sedih lagi kerana tak sempat mencium anakku kerana kutahu aku mesti akan dimasukkan ke wad.
Di wad kecemasan, salur tiub dimasukkan ke pundi kencingku untuk mengeluarkan air kecing yang tersimpan sejak hari Khamis lalu. Ketika itu, hilang semua rasa sakitku. Terasa sangat lega hingga aku tertidur keletihan memandangkan aku memang tak cukup tidur sejak hari Rabu lalu.
Tiba-tiba...BUPP!! Beg yang menakung air kencingku terjatuh ke lantai kerana terlalu penuh. Jururawat bertugas terkejut melihat air kencingku yang sangat banyak tersimpan di dalam pundi kencing. Setelah dikira lebih kurang 2.5 liter air tersimpan dalam pundi kencingku. Doktor menyatakan nasib baik aku cepat dibawa ke hospital kerana pundi kencingku telah hampir pecah dek kerana menampung kandungan air yang terlalu banyak. Mana tidaknya, air yang kuminum sejak Khamis lalu masih belum keluar walau setitik pun.
Seperti kujangkakan, aku ditahan di wad. Dengan hati yang sangat sedih, aku terpaksa menuruti. Aku sedih memikirkan bayiku. Kesian dia terpaksa minum susu lembu. Aku juga risaukan tahap jaundisnya kerana tika aku meninggalkannya, aku lihat wajahnya sudah hampir kuning semua. Namun suami taknak bawa ke klinik walau puas kupujuk.
Ahad, waktu melawat hanya suami dan keluargaku sahaja yang datang. Anakku di rumah. Tidak dibenarkan dibawa keluar melawatku kerana pantang ibu mertuaku bayi dalam pantang tak boleh keluar rumah. Aku sedih lagi. Namun aku telah berpesan kepada suami untuk membawa baju yang telah dipakai oleh anakku untuk mengubat rinduku. Setibanya suami dengan membawa pakaian anakku, kucium berulang kali dan kupeluk erat-erat. Rindunya aku padanya. Mengenangkan detik ini, pasti ada airmata yang mengiringi. Inilah detik rindu yang paling perit dalam hidupku.
Setiap kali doktor datang memeriksaku, aku merayu dibenarkan pulang. Namun kata doktor aku tidak dibenarkan pulang lagi memandangkan pundi kencingku terlalu kembang dek kerana 2.5 liter air terpaksa ditampung tempohari. Hatiku diruntun pilu mengenangkan anakku. Malam itu di wad, aku mengalami bengkak susu. Hanya Allah yang tahu. Semalaman aku tidak lena tidur menahan sakit.
Isnin, pagi-pagi lagi aku sms suami memaksanya membawa anakku kerana aku sangat merinduinya. Aku juga ingin menyusukannya. Waktu melawat adalah dari jam 12.30 - 2.00 petang. Kutunggu dari pagi. Tidak kunjung tiba. Akhirnya pada jam 1.30 tengahari barulah muncul bayiku, suami dan adik-adiknya.
Kupeluk, kucium anakku sepuas-puasnya. Kususukan dia sambil mata tak lepas memandang raut wajahnya yang seiras diriku. Kulihat jaundis sudah merebak ke seluruh tubuhnya. Sepanjang anakku berada di situ, bibirku tak lepas-lepas tersenyum. Hatiku berbunga riang. Walaupun pertemuan kami seketika cuma, cukuplah sekadar aku dapat menatap wajah dan memeluk dirinya. Selepas menziarahiku, suami terus membawa bayiku ke klinik untuk memeriksa tahap jaundisnya.
Tiba-tiba aku menerima sms daripada adikku menyatakan bahawa anakku terpaksa dimasukkan ke wad kerana jaundisnya telah mencapai 24.7 sb. Hairannya tika itu, aku tidak sedih malah aku gembira kerana aku tahu anakku selamat di bawah jagaan jururawat dan doktor yang mempunyai kepakaran merawat jaundis beserta peralatan yang sesuai. Aku lega dan terus lega. Doaku semoga bayiku cepat sembuh.
Kebetulan sebelah katilku adalah jururawat di wad jaundis yang dimasukkan ke wad kerana mengalami keguguran. Oleh sebab itu, aku dapat mengetahui keputusan ujian darah anakku melaluinya.
Walaupun aku terpaksa menghadapai tempoh berpantang di wad, aku tetap menjaga diriku. Aku akan memastikan lukaku sentiasa kering. Aku juga hanya makan nasi dan ikan bilis goreng bawang yang dibawa oleh suamiku sahaja. Setiap masa aku berbengkung. Walaupun semuanya kulakukan sendiri, aku redha kerana mungkin ini bahagianku. Aku juga berasa lega kerana anakku mendapat rawatan yang sewajarnya.
Selasa, aku memohon untuk pulang lagi. Masih tidak dibenarkan. Tapi doktor memberi kebenaran untuk aku melawat anakku di wadnya. Aku dihantar oleh suami. Tersentuh hatiku melihat dirinya di bawah 4 lapis lampu biru dengan mata ditutup tanpa seurat benang pun. Menurut jururawat, anakku terpaksa dibogelkan kerana tahap jaundisnya yang sangat tinggi. Aku terus menyusukan anakku dengan penuh rasa rindu dan kasih sayang.
Rabu petang akhirnya aku dibenarkan pulang. Aku terus ke wad anakku. Hari ini merupakan hari ke-7 aku berpantang. Aku dan suami mengisytiharkan nama bayi kami, Ahmad Iman Bukhari. Malam itu, Iman taknak menyusu badan. 3 hari minum susu lembu dengan puting panjang membuatkan Iman terlupa cara menyusu dengan Mamanya. Namun aku tak putus harapan. Kucuba dan kucuba. Akhirnya Iman mula menerima susu badan hingga taknak pula berbaring di bawah lampu biru.
Khamis, bacaan darah Iman turun lagi. Namun masih belum dibenarkan pulang. Aku bermalam lagi semalam. Walaupun salur tiub telah dibuka daripada pundi kencingku, namun kencingku masih belum begitu lawas. Aku asyik berulang-alik ke tandas hingga kakiku bengkak. Namun aku bersyukur kerana luka jahitanku semakin sembuh tanpa sebarang komplikasi.
Jumaat petang aku dan Iman dibenarkan pulang. Malam itu keluarga mertua mengadakan kenduri kesyukuran. Keesokan harinya barulah aku betul-betul berpantang. Ibu mertua masakkan air daun untuk mandianku. Memang menyegarkan badan. Aku berbengkung seperti biasa dan hanya makan nasi panas bersama ikan bilis goreng berbawang.
Walaupun Iman dah discaj wad, namun aku dan suami diminta menjaga tahap jaundisnya. Aku dan suami akan memastikan Iman disusukan setiap 2 jam.
Ahad, aku pulang berpantang di rumah ibuku dengan dihantar suami. Sebelum pulang, aku memohon ampun maaf daripada ibu dan bapa mertuaku seandainya mereka ada tersinggung dengan sikapku. Kami dihantar dengan linangan airmata ibu mertuaku.
Setibanya di rumah ibuku, bapaku telah sedia menanti cucunya. Wajahnya sangat ceria. Bermula daripada hari itu, aku berpantang cara ibuku pula. Sama seperti cara berpantang ibu-ibu yang lain. Berbengkung, makan jamu, bertungku. Aku hanya berselera makan nasi bersama ikan bilis campur bawang sahaja. Entah mengapa ikan darat tidak begitu menepati seleraku. Oleh yang demikian, sepanjang berpantang aku hanya makan nasik berlaukkan ikan bilis. Untuk minum petang pula aku makan roti cicah milo panas.
Walaupun iman dah discaj, namun ibuku masih berhati2 menjaga tahap jaundisnya. Aku beruntung kerana ibuku memang pandai melihat tanda2 jaundis di muka iman. Apa yang dapat kuperhatikan, jaundis iman akan naik kembali sekiranya aku menyusukannya selepas aku bertungku. Iman tak boleh panas langsung. Oleh sebab itu, aku hanya akan menyusukan iman sekurang2nya 2 jam selepas selesai bertungku. Aku juga tidak konsisten makan jami. Bergantung pada tahap jaundis iman. Seingat2 aku, aku betul2 konsisten mengambil jamu setelah iman berusia 30 hari.
Akhirnya kami temui cara menurnkan jaundis yang serasi dengan iman. Caranya ialah dengan merendam halwa kundur (yang telah dibasuh terlebih dahulu untung mengurangkan manisnya) dengan air panas ke dalam botol iman. Setelah dirasakan suam2 kuku, barulah diberi kepada iman. Alhamdulillah..keesokan harinya bacaan SB iman telah turun daripada 13 kepada 8 sahaj. Iman terus discaj dan tak perlu diambil darah lagi.
Aku pula meneruskan tempoh berpantangku dengan perasaan lega, gembira, bahagia dan teruja. Kisahku ini memang amat perit bagiku. Kini setahun telah berlalu. Melihat orang lain mengandung, adakalanya teringin juga. Namun memikirkan kisah2 sedih yang pernah kulalui, macam serik la pulak. Insya-Allah, tunggu iman besar sikit baru nak mencuba lagi. Harap2 nak girl pula...
Begitulah pengalaman berpantangku. Penuh suka duka dan tawa hiba. Semuanya mengajarku erti pengorbanan seorang Mama...
Inilah anakanda Iman
yang dah nampak jaundis di selurh tubuh
gambar2 ini sangat menyayat hati Mama
sebab tika ini Mama tiada di sisi Iman
kerana Mama dah dimasukkan ke dalam wad...
Iman di WAD B3 Hospital Taiping
wad ICU untuk bayi jaundis
tika ini bacaan SB Iman adalah 19.8
2 comments:
salam ibu iman,
sangat tersentuh hati membaca entri ini
Assalamu'alaikum wbt,subhanallah..terharu dan kagum sy membaca entri ini..nama saya fadhilah, kebetulan terjumpa entri ini semasa hendak mencari pertandingan giveaway diserata blog..
bila singgah di blog mama_sayang_iman ini saya terpanggil membaca entri ini.. kita mempunyai pengalaman yg lebih kurang sama..untuk pengetahuan mama iman,saya telah mempunyai dua orang cahayamata setakat ini dan alhamdulillah kita telah sama2 tempuhi ujian dari Allah yang Maha Esa dengan penuh kesabaran.
semasa pantang anak pertama sy, pengalaman yg dilalui byk mengajar saya..sy juga berpantang dirumah ibu mertua kerana kedua ibu bapa sy bekerja, cuma apa yang berlaku agak berbeza dengan mama iman..saya mengalami konflik dengan ibu mertua kerana tidak memenuhi segala kaedah berpantang yang dimintanya..mungkin kerana kelahiran anak yg pertama, saya hanya menumpukan segala perhatian pada anak dan menangguhkan aktiviti berpantang..bukan saya taknak lakukan tetapi manangguhkannya..mungkin salah saya juga..maka,ibu mertua melepaskan kemarahan pada suami..hanya 7 hari saya dirumah mertua, kemudian pindah kerumah kami tanpa pengetahuan kedua ibu bapa kandung saya.keluarga mertua jg berat ingin melepaskan kami..ini bagi menggelakkan konflik yg lebih besar. setelah anak pertama saya berusia 11 hari, kami berdua dikehendaki masuk ke wad kerana bby mengalami jaundis yang agak tinggi.syukur pd Allah, hanya 2 hari di wad, saya dibenarkan keluar dan kembali kerumah kami meneruskan kehidupan seperti biasa. setelah beberapa hari, barulah pulang kerumah ibu saya dan berpura2 seperti tiada apa yang berlaku..tetapi, hati seorang ibu dapat meneka. saya cuba utk back-up keluarga mertua utk tidak mengeruhkan lagi keadaan..alhamdulillah ibu saya mengerti, sekarang sy telah melahirkan anak ke- 2 dan berpantang dirumah ibu sendiri.ibu saya yg bekerja mengambil cuti seminggu semata2 utk menjaga anaknya yg berpantang..pada hari2 lain, ibu saya telah menyiapkan tungku, makanan dan sebagainya diawal2 pg sebelum pergi ketempat kerja..saya sgt terharu..harap kita jg seperti itu apabila mempunyai cucu kelak =)tentang anak jaundis, alhamdulillah anak kedua saya tidak dimasukkan wad kerana jaundis, saya ingin berkongsi amalan yg saya lakukan agar ank tidak kene jaundis..pada bulan ke 9 mengandung, minum air glukos selalu.ini diteruskan hingga anak lahir..setap kali sebelum menyusu, saya minum air glukos.alhamdulillah jaundis anak cepat turun..
setiap yg Allah tentukan pasti ada hikmahnya..saya hnya pohon pada Allah agar kami sekeluarga terus dikurniakan kebahagiaan serta kesabaran dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah dimuka bumi Allah ini..pengalaman mengajar erti kehidupan.
Sebagai sahabat mama iman, saya hanya mampu menyatakan..sabarlah..sabarlah dan terus bersabar..semua yang berlaku ada hikmahnya..Allah ingin memnghapuskan dosa atau meningkatkan darjat bagi mukmin yang sabar apabila ditimpa ujian drNya..maafkan org lain setiap hari, mudah2an kita memperoleh keampunan Allah diakhirat kelak..semoga kita dapat membina anak2 yang menyayangi orang lain dan berbakti pada agama bila mereka dewasa kelak..
gembira dapat berkongsi dgn mama iman..wish u happy ever after..
Post a Comment